Written by admin on August 10, 2009 – 8:53 pm
Pada Sabtu yang lepas, pihak Petronas cawangan Sarawak telah datang ke SMK Matang Jaya untuk menganjurkan program kecemerlangan SPM 2009. Program yang dijalankan dan ditaja sepenuhnya oleh pihak Petronas mendapat sokongan penuh dari pihak SMK Matang Jaya melalui guru kaunselor sekolah, Pn Siriya Siset. Program dimulakan seawal jam 7:30pagi dengan sarapan pagi di kantin sekolah, sebelum sesi ceramah teknik menjawab soalan diadakan di makmal-makmal terpilih pada jam 8:00pagi.
Untuk program ini, pihak Petronas telah berkenan untuk memilih 3 matapelajaran terpenting di dalam SPM, yakni Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik. Turut dimuatkan di dalam program ini adalah satu sesi ceramah motivasi yang mana telah menekankan kepentingan pelajar berusaha dari sekarang demi untuk menghargai pengorbanan ibu bapa mereka.
Dalam ucapan penutupan beliau, Datin Mary yang merupakan pengurus besar Petronas Sarawak menyatakan bahawa program sebegini akan diteruskan lagi tahun hadapan sekiranya ianya berjaya pada tahun ini. Beliau juga menyatakan bahawa SMK Matang Jaya adalah antara 3 buah sekolah terpilih untuk program ini, dan berharap bahawa ianya mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar. Turut hadir semasa majlis ini adalah Pn Pengetua, Pn Hjh Saftuyah, Pn Liza (PK1), En Ahmad Daud (PKK) serta guru-guru terlibat.





